navbar home about us resources events Royal Terengganu Songket news online songket contact us

By Bernama 19 Mac 2009 22:02 PM

Raja Permaisuri Agong Lancar Buku Songket Revolution

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Khamis berkenan melancarkan buku "Songket Revolution" yang menjejak kekayaan sejarah kebangsawanan songket dan perkembangan semasanya.

Buku yang dihasilkan oleh Datin Noor Azlina Yunus itu memaparkan kemewahan gambaran fotografi dalam rekaan baru fesyen dan produk songket serta mengangkat teknik penenun songket Semenanjung Malaysia berusia beratus tahun, khususnya di Terengganu yang menjadi pusat tenunan songket.

Songket Revolution turut menampilkan pandangan beberapa pereka fesyen terkemuka Malaysia seperti Rizalman Ibrahim, Melinda Looi, Tom Abang Saufi dan Radzuan Radzwill mengenai seni songket.

Noor Azlina berkata beliau berharap penghasilan buku itu dapat mempromosikan keunikan songket bukan sahaja di Malaysia bahkan di luar negara.

Buku itu boleh didapati di rangkaian kedai buku MPH, pusat kesenian dan warisan serta di pejabat Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ). Dijual pada harga RM380 senaskhah, kos penghantaran dikenakan sebanyak RM45 di Semenanjung Malaysia dan RM55 di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 5,000 naskhah telah dicetak dan buku itu juga dirancang untuk dipasarkan di Singapura, Bangkok, Jakarta, Amerika Syarikat dan Eropah. Ia juga sedang dipamerkan dalam Pesta Kraftangan Malaysia di gedung Harrods, London.

"Buku ini merupakan idea yang bagus kerana dengan adanya buku ini, kita boleh kenalkan songket di peringkat antarabangsa sebab songket ini unik dan ramai orang luar nak tahu.

"Jadi dengan adanya buku seperti ini, kita bukan boleh setakat tarik masyarakat antarabangsa sahaja tetapi juga rakyat Malaysia yang mungkin sudah melupai songket ini," kata Radzuan yang ditemui Bernama pada majlis pelancaran itu.

Bagi penyelidik seni songket, Profesor Sulaiman Abdul Ghani, songket merupakan tradisi yang berpaksikan inovasi dan perlu diteruskan supaya tidak ditelan masa.

"Dahulu, fesyen songket ini terbatas dengan warna dan coraknya yang terhad dan telah dipelajari turun-temurun. Tapi kini, sejajar dengan perkembangan fesyen, ia telah dipelbagaikan.

"Kita perlu letak seorang pereka fesyen di belakang industri songket ini, supaya ia tetap terpelihara dan boleh diubah corak tetapi masih mengekalkan identiti songket," katanya.

-- BERNAMA

 

original article appears here


home about us resources events Royal Terengganu Songket news online songket contact us