navbar home about us resources events Royal Terengganu Songket news online songket contact us

Legasi Fabrik Warisan - Berita Harian Online
Oleh Shaidah Shafie


SERI PADUKA dan Tuanku Nur Zahirah bersalaman dengan artis yang terbabit dalam majlis amal, Songket Ball di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Keunggulan songket terus diangkat ke peringkat dunia

SESUAI dengan statusnya sebagai fabrik warisan negara, songket terus dijulang dan diangkat martabatnya dalam satu majlis amal, Songket Ball, bertempat di Dewan Utama, Hotel Shangri-La Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Malah, pada majlis berkenaan bukan sekadar songket saja yang diperkatakan, penenun yang bertanggungjawab menghasilkan fabrik halus lagi berseni itu turut diberi perhatian dalam usaha mengekalkan warisan seni dan budaya Melayu itu.

Sehubungan itu, usaha Yayasan Tuanku Nur Zahirah yang tidak asing lagi dengan kerja menghidupkan semula warisan dan kegemilangan songket wajar diberi sokongan jitu, lebih-lebih lagi kehadiran Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan penaung yayasan berkenaan, Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah yang berkenan mencemar duli, dianggap menyuntik kesungguhan kepada seluruh pencinta seni warisan negara itu.

Tuanku Nurzahirah bertitah, dalam usaha mengekalkan kesinambungan industri songket dan kraf, yayasan berkenaan mengambil tindakan wajar menghadirkan generasi baru pengusaha songket yang berkebolehan menghasilkan rekaan bersifat kontemporari.

“Setelah melakukan kajian dan pembangunan terhadap songket, yayasan bertindak mengeluarkan songket bersifat kontemporari serta pada masa sama mengekalkan ciri tradisional.

KEUNIKAN songket tiada bandingan.

“Generasi baru songket ini akan mengetahui bahawa ia bukan saja mempunyai tempat untuk kegunaan tradisional sebalik melangkau jauh ke luar negara,” titahnya.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Titah baginda lagi, penenun terbabit yang mendapat faedah daripada skim ‘bayar dan latih,’ bukan saja menghasilkan songket menggunakan teknik menenun terkini, tetapi mereka juga mempunyai pengetahuan dan sains bagaimana mengendalikan fabrik untuk menghasilkan corak serta teknik yang dikehendaki.

“Latifah Hendut, misalnya mempelajari kerja menenun daripada ibunya, tetapi di yayasan yang terletak di Chendering, Kuala Terengganu, beliau mempelajari semua sekali bermula daripada menghasilkan benang hinggalah produk akhir,” titahnya. Pada majlis sama, turut diadakan jualan produk daripada songket dan pertunjukan fesyen menampilkan busana indah lagi gemerlapan daripada fabrik sama. Hasil jualan akan disalurkan ke yayasan untuk tujuan promosi dan pengukuhan fabrik warisan Malaysia itu.

Antara pereka fesyen yang menyumbang hasil ilham terhadap busana yang diperagakan ialah Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwil, Melinda Looi, Jovian Mandagie, Rizalman Ibrahim, Tangoo dan Pink Jambu.

Sketsa ringkas perbualan antara cucu dan nenek mengenai keindahan songket juga memukau undangan kerana ia diselang-seli dengan tayangan slaid mengenai penenun di Chendering selain lagu dendangan M Nasir, Faizal Tahir dan Ida Mariana mengundang perhatian semua yang ada di dalam dewan besar berkenaan.

Tidak mustahil dengan adanya kerjasama pelbagai pihak, lebih-lebih lagi di bawah naungan Tuanku Nur Zahirah, legasi songket akan terus kekal dalam lipatan sejarah di samping bersedia menghadapi suasana global seterusnya membawa kemasyhuran nama negara di arena antarabangsa dengan kenyataan betapa indahnya mutu fabrik songket nan satu.

 

original article appears here


home about us resources events Royal Terengganu Songket news online songket contact us